Saturday, August 14, 2010

Empangan Bakun: Faedah mencecah RM10 juta/bulan tahun 2011

Neo Chee Hua | Aug 11, 2010 03:14:41 pm


Projek Empangan Bakun yang menelan kos RM7.3 bilion sehingga akhir tahun ini, bakal menjurus kepada tanggungan faedah setinggi RM10 juta setiap bulan, oleh pemiliknya Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), mulai tahun 2011.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah membekalkan pinjaman sebanyak RM5.75 bilion kepada projek ini sehingga kini.

Menurut laporan media bahasa Inggeris tempatan, jemputan lawatan media oleh SHSB pada minggu lalu, menyaksikan bagaimana projek ini telah disiapkan 96% sehingga April tahun ini.  Keperluan teknikal telah dipenuhi, dan kini hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk memulakan operasinya.

Faedah setinggi RM10 juta setiap bulan
Menurut Managing Director SHSB Zulkifie Osman, syarikatnya sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk memulakan operasi menakung air.  Operasi ini memerlukan tempoh tujuh bulan, sebelum ujian menjana elektrik dijalankan, agar memenuhi syarat minima operasi penjanaan elektrik.

SHSB terpaksa menanggung faedah setinggi RM10 juta setiap bulan mulai tahun depan, lantaran daripada penangguhan operasi penakungan air selama lima bulan dari apa yang dijadualkan sebelum ini.  Oleh itu, Zulkifie berharap kerajaan negeri memberi kelulusan secepat mungkin agar kos projek empangan ini boleh dikurangkan.
Menurut Pengerusi SHSB Izzuddin Dali pula, kos pembangunan empangan adalah antara RM7.0 bilion hingga RM7.3 bilion (termasuk faedah dan pampasan) sehingga akhir tahun ini.  Kos terus melonjak, memaksa agar operasi penakungan air dimulakan untuk mengurangkan kos yang ditanggung SHSB.

Di samping itu, SHSB sedang berunding untuk menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) dengan satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Projek Empangan Bakun, Sarawak Energy Bhd, dengan harapan agar ia dimeterai pada hujung tahun ini.

Projek mega zaman Mahathir
Mengikut rancangan Projek Empangan Bakun sebermulanya, penjana hidroelektrik ini akan meluluskan satu projek Kabel Penyaluran Dasar Laut yang bernilai RM10 bilion, untuk membekalkan kuasa elektrik kepada Semenanjung Malaysia.  Bagaimanapun, projek ini terpaksa dimatikan.

Seterusnya, Sarawak Energy Berhad muncul sebagai satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Empangan Bakun.  Malah, kuasa elektrik ini akan dijual pula kepada sebuah kilang peleburan aluminium di Sarawak, yang dimiliki oleh syarikat perlombongan kedua terbesar di dunia, Rio Tinto.

Projek Empangan Bakun adalah projek penjana hidroelektrik mega yang diketengahkan oleh kerajaan Mahathir Mohamad pada tahun 1980-an, untuk memperbanyakkan sumber bekalan elektrik.  Projek Empangan Bakun diserah kepada Ekran Bhd, yang dikuasai tycoon terkemuka, Ting Pek Khing pada tahun 1994.  Namun demikian, projek mega ini terpaksa diketepikan berikutan kemelut ekonomi pada tahun 1997.

SHSB mengambil alih projek ini pada tahun 2000, dan kemudian projek ini ditenderkan.  Malaysia China Hydro Joint Venture (MCHJV) yang ditunjangi Sime Darby Bhd berjaya memperolehi projek ini dengan harga tender RM1.8 bilion pada Oktober 2002.

Mengikut jadual asal, projek ini harus disiapkan pada akhir tahun 2007.  Tetapi, penundaan berlaku sehingga ia disiapkan hanya pada tahun ini.  Menurut kontraktor (Sime Darby), penundaan ini berlaku kerana laporan kajian tanah yang dibekalkan oleh SHSB tidak jitu.

Lebihan kos ditanggung kerajaan?
Menurut media tempatan yang memetik daripada sumber yang tidak diketahui, Sime Darby menuntut kos lebihan lantaran penundaan projek sebanyak RM780 juta daripada kerajaan.  Namun demikian, beberapa faktor menyebabkan angka kos ini terus melonjak, menjurus kepada anggaran kerugian Sime Darby setinggi RM450 juta pada tahun kewangan 2010.

Sebagaimana yang diketahui, Sime Darby berniat menuntut kos lebihan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan, malah meminta agar kerajaan mengecualikan pampasan yang harus dibayar kepada pemilik empangan berikutan penundaan.  Lebihan kos ini telah melonjakkan kos pembinaan empangan dari RM1.8 bilion pada asalnya kepada RM3.2 bilion, yang belum merangkumi kos projek elektrik dan mekanik.

Seandainya dihitung secara terperinci, maka kerugian yang ditanggung oleh Sime Darby lantaran daripada Empangan Bakun boleh mencecah RM1 bilion.  Namun, Sime Darby menuntut pampasan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan, dan ditambah pula dengan permintaan untuk mengecualikan pampasan, maka kerugian dijangka akan dikurangkan kepada kira-kira RM300 juta.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 9 Ogos 2010.  Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.


http://freemalaysiatoday.com/bahasa/wp-content/uploads/2010/08/n16194831839_919652_7562.jpg
Kenyataan Media 13 Ogos 2010 PETALING JAYA: Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu.

Berdasarkan laporan, jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek. Kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 bilion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.


Sikap tidak peduli Perdana Menteri yang membiarkan wang rakyat terus digunakan dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula.

Beliau seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula – sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.

Sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun. Projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

Kenaikan kos mendadak
Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan).

Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri. Perbezaan ini memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion apabila projek diserahkan kelak.

Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion ini? Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 bilion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?

Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi. Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbilion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat. Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat.

Rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang